alumnique

Wednesday, February 15, 2006

MATLAMAT MENUNTUT ILMU

ILMU yang ada di dunia ini terlalu luas. Bidangnya mencakupi teori dan praktikal. Menguasai ilmu diakui oleh dunia kerana dengan ilmu manusia mampu membina kehidupannya melalui ekonomi, politik, pentadbiran dan sebagainya. Islam dan ilmu tidak dapat dipisahkan. Ini bertepatan dengan wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. yang berasaskan ilmu iaitu firman Allah yang bermaksud: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang mencipta (sekelian makhluk).” (Al-Alaq: 1)
Keperluan kepada ilmu sangat dititikberatkan oleh agama untuk kehidupan manusia. Satu hadis yang masyhur menyebut tentang keperluan ini. Sabda Rasulullah s.a.w., “Menuntut
ilmu itu wajib (hukumnya) ke atas setiap muslim (lelaki dan perempuan).’’ Riwayat Ibnu Majah.
Ilmu adalah keperluan asas kehidupan. Islam sendiri telah mengangkat darjat orang yang berilmu sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Quran, “Allah s.w.t. meninggikan darjat orang yang beriman di kalangan kamu (pengetahuan di kalangan kamu) beberapa darjat.” (al-Mujadalah: 11)
Sebagaimana dimaklumi, kategori ilmu dibahagikan kepada fardu ain dan fardu kifayah. Fardu ain yang memberi erti tuntutan syarak ke atas setiap mukalaf untuk melakukannya kecuali uzur yang diizinkan oleh syarak. Ia berhubung dengan akidah Islam. Yakin dan percaya kepada Allah, mengaku dan meyakini bahawa Allah sahaja yang layak disembah. Ia juga berhubung dengan ibadah dan cara perlaksanaan ibadat; akhlak mulia yang diajar oleh Islam.
Ilmu fardu kifayah pula ialah tuntutan syarak ke atas masyarakat atau jemaah. Ini bererti jika sebahagian anggota masyarakat melakukannya, terlepaslah tanggungan dosa ke atas keseluruhan anggota masyarakat. Selagi tuntutan fardu kifayah tidak dipenuhi maka keseluruhan anggota masyarakat akan berdosa. Ini termasuklah pecahan bidang yang luas seperti ilmu perubatan, kejuruteraan, pertanian, perniagaan, perundangan, sains dan teknologi, sosial, profesional, kemahiran dan sebagainya ilmu.
Dalam konteks masyarakat hari ini, kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan bagi memastikan warga negaranya menikmati peluang pendidikan. Ibu bapa mengharapkan agar anak-anak mereka mendapat pendidikan yang sempurna dengan wujudnya sekolah dan universiti.
Di sebalik kesibukan menuntut ilmu, peluang pekerjaan merupakan satu isu yang dikaitkan dengan ilmu. Kebanjiran graduan yang melebihi pasaran merupakan satu isu baru yang menjadi kebimbangan graduan dan masyarakat.
Tanggapan bahawa seorang berilmu mesti mendapat pekerjaan yang baik dan bergaji lumayan adalah tidak tepat. Ini kerana ilmu tanpa usaha tidak mampu membuahkan hasil. Oleh sebab itu beberapa aspek yang diajarkan dalam agama kepada penuntut ilmu perlu diambil kira.
Niat
Umumnya setiap manusia mempunyai niat yang berbeza dalam menuntut ilmu. Sebahagiannya berniat untuk mendapat ilmu manakala sebahagian yang lain berniat untuk mendapat pekerjaan, kepentingan, nama dan sebagainya. Mereka yang belajar untuk mendapat pekerjaan seperti yang diimpikan akan kecewa jika gagal mendapatkannya. Islam mengajarkan niat yang betul dan ikhlas dalam sesuatu perkara akan mencapai matlamatnya.
Memiliki ilmu pengetahuan sahaja tidak mencukupi malah seseorang hendaklah berusaha untuk merealisasikan ilmu yang ada pada dirinya kepada saluran yang berkaitan. Seseorang yang mempunyai ilmu undang-undang wajar berusaha bekerja di mahkamah, syarikat perundangan, membina syarikat guaman dan sebagainya. Begitu juga dengan pelajar jurusan yang lain. Mereka perlulah bijak memasang strategi serta usaha berterusan agar dapat menguasai bidang yang diceburinya itu. Apa yang sangat ditekankan oleh Islam apabila seseorang belajar ialah mereka mampu untuk menyempurnakan sebagaimana yang dipelajari dan difahaminya. Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya. Amat besar kebencian di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” (al-Saff: 2 dan 3).
Selain itu perlu ada kesungguhan dalam menjalankan apa yang diusahakan. Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya Allah s.w.t. suka apabila sesiapa di antara kamu melakukan sesuatu kerja, dia melakukannya dengan bersungguh-sungguh.” Riwayat al-Baihaqi
Seseorang yang menuntut ilmu itu hendaklah bersungguh-sungguh dalam mencari ruang untuk merealisasikan kerjaya impiannya. Ini bermakna untuk mendapat pekerjaan, seseorang itu perlu berkorban masa, tenaga, wang ringgit sehingga terpaksa berpisah dengan sanak saudara.
Peluang yang ada di sekeliling terutama dalam dunia yang terbuka sememangnya banyak. Mereka perlu menerokainya untuk merealisasikannya. Perjalanan bagi seseorang penuntut ilmu tidak terhenti kepada ilmu yang dimiliki malahan minat dan usahanya.
Seiring dengan ilmu yang dimiliki dalam diri, setiap individu juga perlu memiliki semangat yang kental dan jati diri yang kuat dalam melawan anasir luar yang boleh menghalang matlamat penguasaan kerjaya dan ilmu. Mereka perlu memiliki daya saing walaupun terpaksa menempuh berbagai-bagai halangan. Mereka perlu bertanya dan menyelidiki peluang-peluang yang ada di sekeliling berdasarkan pengalaman orang lain yang telah berjaya. Memiliki ijazah tidak semestinya memiliki kejayaan dalam kehidupan dengan mudah sebagaimana kejayaan dalam pelajaran. Mereka perlu berusaha bersungguh-sungguh sebagaimana mereka pernah bersungguh mendapatkan ilmu. Jangan sesekali berasa rendah diri dan malas untuk berusaha. Mereka memerlukan sokongan keluarga agar sama-sama berusaha mendoakan kejayaan dan tidak menekan perasaan mereka. Allah tidak akan sesekali mengubah nasib mereka jika mereka tidak mengubah nasib mereka. Bertepatan dengan peringatan al-Quran yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (ar-Ra’d: 11)
Kemahiran
Para pelajar juga perlu menguasai kemahiran-kemahiran semasa seperti ilmu teknologi maklumat (IT), pengucapan awam, berbahasa Inggeris serta pengetahuan umum tentang apa yang berlaku di dalam dan luar negara. Ia merupakan nilai tambah yang mampu memikat pihak majikan untuk menawarkan pekerjaan kepada mereka.
Allah menjelaskan betapa luasnya ilmu yang terdapat di muka bumi ini sebagaimana firman-Nya yang bermaksud, “Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena dan segala lautan (menjadi tinta) dengan ditambah lagi tujuh lautan sesudah itu, nescaya tidak akan habis kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.’’ (Luqman: 27)
Seseorang yang berusaha bersungguh-sungguh hendaklah bertawakal kepada Allah s.w.t. dengan berdoa agar segala usahanya membuahkan hasil yang baik. Kita mampu merancang yang terbaik dalam hidup namun perancangan Allah adalah yang terbaik mengatasi perancangan manusia. Bertawakal dengan maksud setelah berusaha bersungguh-sungguh dan berdoa, Allah akan perkenankan segala usaha tersebut. Firman Allah yang bermaksud: “Kemudian apabila kamu telah berazam (untuk berbuat sesuatu), maka bertawakal kepada Allah.” (Ali-Imran: 159)
Orang yang menuntut ilmu wajar mengetahui matlamat sebenar untuk menuntut ilmu dengan tidak mengharapkan ganjaran semata-mata, malahan mereka orang-orang yang layak menjadi khalifah di dunia ini dengan mengamalkan segala ilmu yang ada pada mereka.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home